Wednesday 10 August 2016

Tahap Pembangunan Industri Pelancongan Malaysia

Purata kedatangan para pelancong asing ke Malaysia semakin meningkat dari tahun ke tahun. Ini menunjukkan bahawa masih ramai pelancong yang berminat untuk datang ke Malaysia walaupun pelbagai masalah yang semangnya mengganggu industri pelancongan telah berlaku. Sebagai contoh, masalah jerebu yang sering menimpa nagara ini saban tahun dan juga peristiwa besar yang telah melanda negara kita dua tahun yang lalu iaitu kehilangan pesawat MH17 yang telah menggemparkan seluruh dunia. Kejadian-kejadian ini sangat membimbangkan pihak kerajaan kerana ia mampu menurunkan purata pelancong yang datang ke Malaysia sekali gus memberi impak yang besar kepada keadaan ekonomi semasa negara.  Namun, perkara sebaliknya telah berlaku. Berdasarkan kenyataan Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Razak dalam satu temu bual yang dipetik dari Berita Harian Online (2015), industri pelancongan negara kini menjadi penyumbang keenam terbesar kepada pembangunan ekonomi Malaysia dengan jumlah sumbangan bernilai RM161 bilion atau 14.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) pada tahun 2014.  Walaupun kejadian yang paling menyedihkan telah berlaku di Malaysia, industri pelancongan masih dapat bertahan dan menarik lebih kurang 27.44 juta pelancong dengan pendapatan berjumlah RM72 bilion.

Berdasarkan Competency Standard for Polytechnic Graduates (2010), industri pelancongan boleh dibahagikan kepada lapan sektor utama iaitu sektor penginapan, kulinari, acara, perkhidmatan pelancongan, tempat tarikan, pengangkutan, rekreasi dan juga perniagaan pelancongan. Jelas di sini bahawa industri pelancongan merupakan satu industri yang begitu luas dan berpotensi besar dalam menyumbang kepada peningkatan jumlah pendapatan dan ekonomi negara. Disebabkan itu, pelbagai usaha untuk mempromosikan lagi industri pelancongan Malaysia di mata dunia telah dilakukan oleh pihak kerajaan. Dengan adanya Internet dan pelbagai aplikasi moden yang memudahkan penyebaran maklumat, ia memberi peluang yang besar kepada pihak kerajaan untuk merealisasikan matlamat kedatangan pelancong tahunan. Menerusi laman sesawang Unit Perancangan Ekonomi Malaysia, dapat dilihat pelbagai usaha telah diambil untuk mempromosikan Malaysia secara terus-menerus. Antaranya ialah program pelancongan di mana pelbagai aktiviti akan dilakukan bagi memelihara tempat bersejarah, peruntukkan sejumlah wang untuk menaik taraf infrastruktur berkaitan pelancongan dan juga peningkatan kualiti produk pelancongan serta mutu perkhidmatan. Dengan adanya kempen dan aktiviti seperti ini, tempat-tempat yang sering dilawati pelancong akan lebih terjaga kecantikan serta keasliannya dan ini sama sekali membantu menaikkan nama Malaysia sebagai pusat pelancongan pilihan.

Selain itu, berdasarkan rajah yang dilampirkan oleh pihak Tourism Malaysia di laman sesawang mereka, kedatangan pelancong ke Malaysia semakin meningkat sejak tahun 2000. Pada tahun tersebut, jumlah kedatangan pelancong adalah 10,221,582 orang dan meningkat naik dari tahun ke tahun dan jumlah pelancong yang datang pada tahun 2015 adalah sebanyak 25,721,251 orang. Satu kenaikan yang banyak dan memberangsangkan. Oleh itu, untuk tahun 2016, pihak Tourism Malaysia mensasarkan sebanyak 30.5 juta pelancong akan datang ke Malaysia dan ini dapat dicapai dengan adanya pelbagai aktiviti yang dapat menarik lebih ramai pelancong tak kira dari luar negara mahupun pelancong tempatan. Contohnya, pihak Tourism Malaysia telah mengadakan Festival Air Thai Songkran yang diadakan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada bulan April. Aktiviti seperti ini dapat menarik para pelancong dari Thailand yang mahukan kelainan dalam melakukan aktiviti ini dan ia mungkin agak berbeza dengan apa yang dilakukan di Thailand.

Berdasarkan fakta-fakta yang telah dijelaskan, benarlah bahawa industri pelancongan di Malaysia semakin berkembang dan meningkat naik walaupun negara ini pernah mengalami masalah-maslah yang hampir melumpuhkan industri ini.

Rajah di bawah menunjukkan carta kedatangan pelancong pada tahun sebelum ini dan juga sasaran jumlah kedatangan pelancong pada tahun 2016.




No comments:

Post a Comment