Wednesday 10 August 2016

Halangan atau Cabaran Industri Pelancongan

Industri pelancongan di Malaysia sedang meningkat naik dan menjadi salah satu sumber pendapatan utama negara. Oleh disebabkan itu, kerajaan menggalakkan pembukaan tempat-tempat pelancongan dengan lebih banyak. Hampir di setiap negeri, pasti ada sahaja daya tarikan yang ditekankan bagi menarik perhatian umum.  Kerajaan juga telah melakukan pelbagai usaha bagi memastikan industri ini berkembang pesat selari dengan pembangunan negara yang pantas. Namun begitu, masih ada kelonggaran dalam memastikan industri ini berkembang dengan lancar. Jika diselidik dengan lebih mendalam, terdapat banyak cabaran dan halangan yang perlu dihadapi oleh industri pelancongan Malaysia.

Cabaran terbesar bagi industri pelancongan di Malaysia ialah pencemaran alam sekitar dan kebersihan tempat-tempat awam. Hari demi hari, pencemaran alam sekitar di Malaysia semakin menjadi-jadi disebabkan sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan tidak pandai menjaga alam semula jadi. Walaupun pelbagai kempen telah diadakan oleh pihak kerajaan, namun sikap suka mencemarkan alam sekitar ini masih sukar disingkirkan. Jika sikap seperti ini diteruskan juga, kecantikan persekitaran kita yang menjadi tunggak utama industri pelancongan Malaysia ini pasti akan terjejas. Begitu juga dengan kebersihan di tempat-tempat awam seperti tandas awam yang sering kali di ambil mudah oleh masyarakat. Tetapi itulah yang melambangkan peribadi sesebuah negara. Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Majun mengatakan bahawa terdapat ramai pelancong yang datang ke Sabah dan mengadu bahawa tandas restoran dan tandas awam di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu berada dalam keadaan yang sangat tidak memuaskan (Borneo Post Online, 3 Oktober 2011). Hal ini tidak hanya berlaku di Sabah tetapi di seluruh Malaysia.

Cabaran kedua yang dihadapi oleh industri pelancongan Malaysia ialah sikap anak-anak muda tempatan yang tidak lagi berminat dengan kebudayaan tempatan. Pada zaman yang serba moden ini, para remaja lebih gemar menghabiskan masa mereka dengan telefon bimbit masing-masing. Tidak seperti zaman dahulu di mana pelbagai permainan menarik seperti gasing, congkak dan ting-ting yang mengeratkan hubungan persahabatan anak-anak muda. Kini, permainan tradisional di Malaysia makin hilang dan tidak diteruskan lagi memandangkan anak muda generasi sekarang hanya fokus bermain permainan di telefon dan alat-alat baru yang lain. Begitu juga dengan cara penghasilan makanan atau kuih tradisional yang semakin dilupakan. Ia hanya dilakukan oleh golongan tua sahaja dan anak-anak mereka tidak mahu mewarisi resipi turun-temurun itu. Terdapat pelbagai jenis kuih tradisional yang begitu sedap seperi bahulu, dodol, kuih bangkit dan sebagainya yang cara pembuatan menggunakan cara tradisional semakin dilupakan.


Selain itu, cabaran lain yang perlu dihadapi oleh industri pelancongan Malaysia ialah keadaan sistem politik yang tidak stabil kerana ia boleh menjejaskan imej negara. Sebagai contoh, jika berlakunya rusuhan dan seperti baru-baru ini berlakunya kejadian bom di sekitar Puchong, ia boleh menyebabkan pelancong rasa kurang selesa dan berasa tidak selamat. Walaupun mempunyai keindahan alam yang cantik tetapi disebabkan keselamatan negara yang kurang terjamin membuatkan para pelancong tidak yakin untuk datang ke sesebuah negara. Di sini, jelaslah bahawa politik yang tidak stabil akan membawa kesan yang buruk kepada industri pelancongan. 

No comments:

Post a Comment