Wednesday 10 August 2016

Langkah-langkah Untuk Mendorong dan Membangunkan Industri Pelancongan Malaysia

Seperti yang diterangkan sebelum ini, industri pelancongan Malaysia berdepan dengan beberapa masalah yang boleh memberi impak yang besar kepada industri tersebut sekali gus kepada hasil pendapatan negara. Oleh itu, masyarakat dan juga pihak kerajaan perlu saling bantu-membantu agar industri pelancongan negara semakin berkembang. Antara langkah-langkah baru yang boleh diambil untuk membangunkan industri pelancongan adalah penyebaran maklumat melalui media sosial, pemberian bantuan kepada usahawan muda dan juga kempen-kempen yang lebih memberi impak kepada masyarakat.

Pada masa kini, medium penyebaran maklumat semakin banyak bagai cendawan tumbuh selepas hujan memandangkan kemudahan Internet sudah boleh didapati di mana-mana sahaja. Antara medium yang terkenal dalam kalangan rakyat seluruh dunia ialah Facebook, Twitter dan Instagram. Hampir setiap hari, pasti ada tempat-tempat pelancongan mahupun kedai makanan yang menampilkan kelainan menjadi “viral” dan telah menarik jutaan pengunjung ke tempat-tempat tersebut. Hal ini kerana adanya sifat ingin tahu manusia yang inginkan kelainan. Oleh itu, pihak kerajaan dan rakyat Malaysia terutama sekali para usahawan sepatutnya menggunakan peluang ini untuk memperkenalkan Malaysia di mata dunia. Kerajaan sering kali menggunakan laman sesawang kerajaan seperti Tourism Malaysia untuk mempromosikan Malaysia tetapi dengan adanya medium baru ini, satu lagi cara dapat digunakan. Jika ada tempat-tempat menarik yang boleh mengundang lebih ramai pelancong asing, rakyat Malaysia perlu sama-sama berkongsi hal tersebut di media sosial supaya ia lebih diketahui ramai.


Untuk mengatasi masalah anak-anak muda yang semakin melupai budaya tradisional negara, kerajaan telah memberi bantuan kepada usahawan-usahawan kecil desa dan juga peniaga-peniaga muda yang baru mula bertapak. Kursus-kursus juga disediakan kepada masyarakat yang tidak mempunyai pekerjaan dan boleh menceburi bidang perniagaan seperti pembuatan songket, perniagaan kuih-muih tradisional, menyediakan perkhidmatan pelancongan seperti menjadi pemandu pelancong dan sebagainya. Oleh itu, rakyat Malaysia perlu lebih agresif dan cuba libatkan diri dalam bidang ini memandangkan jumlah penganggur di Malaysia semakin meningkat. 

No comments:

Post a Comment