Industri
pelancongan merupakan salah satu faktor terpenting di Malaysia dan tidak
hairanlah jika pihak kerajaan serta pihak swasta bersama-sama memberikan
sokongan daripada pelbagai aspek bagi meningkatkan lagi pembangunan industri
ini. Banyak usaha yang telah dicurahkan oleh kedua-dua pihak ini dan ia
sememangnya telah memberi kesan yang positif kepada jumlah kedatangan pelancong
ke Malaysia.
Dalam
Rancangan Malaysia ke-6, kerajaan telah bekerjasama dengan pihak swasta dalam
membangunkan produk-produk pelancongan baru. Kemudian, pada tahun 1994,
kerajaan sekali lagi melancarkan Tahun Melawat Malaysia 1994 (TMM 94) dengan
menawarkan 170 program dan acara merangkumi kebudayaan, kesenian, kraf tangan,
perayaan kebangsaan, sukan, konvensyen dan pameran. Pelbagai aktiviti yang
menarik telah diadakan oleh pihak kerajaan dan badan-badan bukan
kerajaan. Aktiviti yang dimaksudkan adalah seperti pameran
kejohanan sukan bertaraf dunia termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi
(LIMA) dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Acara-acara seperti ini
perlu dirancang dengan baik jika mahu dijadikan acara tahunan. Ia perlu
dipromosikan dengan lebih meluas dan lengkap dengan pelbagai maklumat menarik
berkenaan acara tersebut. Dengan adanya acara atau kejohanan seperti ini, ia
dapat menarik atlet-atlet dari luar negara untuk datang menyertainya dan secara
tidak langsung mempromosikan Malaysia kepada pelancong asing. Dengan ini,
Malaysia bukan saja dapat menempa nama sebagai penganjur sukan bertaraf
antarabangsa tetapi dapat membangunkan industri pelancongan negara juga.
Selain
itu, pihak kerajaan semakin giat memajukan sektor ekopelancongan disebabkan Malaysia
mempunyai khazanah alam semula jadi yang tidak terkira jumlahnya seperti Taman
Negara Belum dan Taman Negara Kinabalu yang telah pun diiktiraf sebagai Tapak
Warisan Dunia oleh UNESCO. Tidak ketinggalan, kerajaan juga menggalakkan agropelancongan
menerusi acara-acara seperti Pesta Buah-buahan Tempatan dan Pesta Flora. Oleh
itu, ditekankan sekali lagi di sini sebagai tuan rumah kepada para pelancong,
penduduk tempatan hendaklah mempamerkan sikap ramah dan berbudi bahasa bagi
memastikan para pelancong selesa dan berasa kehadiran mereka dialu-alukan. Selain
itu, rakyat Malaysia sendiri perlu mengutamakan destinasi-destinasi percutian
di Malaysia dahulu sebelum merancang untuk melancong luar negara.
Antara sokongan kerajaan yang lain dalam meningkatkan industri pelancongan
adalah melalui fungsi Tourism Malaysia. Tourism Malaysia akan memanfaatkan
promosi dan pemasaran digital sepenuhnya melalui penggunaan perkakasan
interaktif dan media sosial yang inovatif untuk menawarkan pengalaman
pelancongan yang disesuaikan mengikut keperluan segmen pasaran khusus. Media
sosial akan digunakan untuk menguasai pasaran pelancong memandangkan pandangan
dan ulasan dalam talian menjadi semakin popular sebagai rujukan kepada
pelancong dalam membuat keputusan pengembaraan. Peserta industri akan
digalakkan untuk memaksimumkan potensi pemasaran digital dengan memanfaatkan
platform yang disediakan oleh Tourism Malaysia. Platform pemasaran akan
dipertingkatkan untuk lebih mesra pengguna, interaktif dan mempunyai kandungan
yang menarik dan relevan.
Usaha
ini adalah untuk membolehkan kecekapan dan keberkesanan dalam pembangunan
pelancongan secara lestari dengan penggunaan sumber secara optimum dapat
dicapai. Semua projek pelancongan akan dibangunkan berdasarkan Dasar
Pelancongan Negara.
No comments:
Post a Comment