Wednesday 10 August 2016

Apa itu industri pelancongan?

Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, perkataan pelancongan membawa maksud perihal melancong, perihal orang melancong dan perkhidmatan yang berkaitan dengannya. Selain itu, Pertubuhan Pelancongan Dunia (OPD) atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai World Organization Tourism (WTO) mendefinisikan perkataan pelancongan di dalam laman sesawangnya sebagai aktiviti melancong yang dilakukan oleh seseorang dan tinggal di tempat yang lain daripada persekitaran biasanya tidak lebih dari satu tahun sama ada untuk menghabiskan waktu lapang, urusan perniagaan mahupun untuk urusan-urusan lain. Berdasarkan kedua-dua definisi ini, dapat disimpulkan bahawa pelancongan merujuk kepada suatu perjalanan atau pergerakan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Ia juga merujuk kepada destinasi yang dituju oleh individu tersebut mestilah berlainan daripada suasana tempat tinggalnya dan tempoh pelancongan itu sepatutnya tidak lebih daripada satu tahun. Jika lebih daripada satu tahun, individu tersebut sudah dikira menetap di tempat tersebut.

Industri pelancongan adalah antara agenda pembangunan yang diberikan penekanan oleh dunia dan Malaysia juga tidak terkecuali kerana sumbangannya yang besar kepada ekonomi negara dan tempatan (Redzuan Othman & Norlida Hanim Mohd Salleh, 2010). Di samping itu, industri ini sebenarnya memperkenalkan satu gaya hidup di mana ia memberi peluang kepada orang ramai untuk berhenti sejenak dan pergi merehatkan diri daripada hiruk-piruk kehidupan kota serta kesibukan kerja yang membosankan dan memberikan tekanan. Di Malaysia, permulaan industri pelancongan adalah pada akhir tahun 1960. Namun pada ketika itu, kerajaan tidak melihat industri ini sebagai satu sektor yang memberi banyak manfaat memandangkan bijih timah dan getah memberi keuntungan yang banyak kepada ekonomi negara. Bermula pada tahun 1970, kerajaan Malaysia sudah mula membangunkan industri pelancongan untuk memenuhi beberapa objektif. Antaranya ialah untuk meningkatkan jumlah pendapatan negara dalam pertukaran mata wang asing, memberi peluang pekerjaan kepada rakyat, menggalakkan pembangunan kawasan, mempelbagaikan ekonomi dan akhir sekali, meningkatkan hasil kerajaan.


Kini, Malaysia telah menjadi salah sebuah negara yang diiktiraf sebagai destinasi pelancongan utama bagi para pelancong serata dunia. Di dalam akhbar The Star pada tarikh 31 Oktober 2015, Malaysia telah dipilih sebagai destinasi pelancongan utama di Asia dan telah mengalahkan sembilan negara lain termasuklah Singapura, Korea, Macau, Sri Lanka dan Thailand  di Anugerah Tahunan Pelancongan Dunia kali ke-22 yang telah berlangsung di Hong Kong. Banyak lagi anugerah telah dimenangi oleh Malaysia pada malam itu dan ini jelas sekali menunjukkan di mana letaknya kedudukan industri pelancongan Malaysia di mata dunia. 

No comments:

Post a Comment