Wednesday 10 August 2016

Kepentingan dan Sumbangan Industri Pelancongan Terhadap Pembangunan Ekonomi Negara


Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu perdana menteri Malaysia, “Industri pelancongan telah memberi sumbangan yang ketara kepada ekonomi negara sejak pengenalan Program Transformasi Negara (NTP)” (BH Online, 17 Oktober 2015). Program Transformasi Negara adalah salah satu usaha perdana menteri untuk mentransformasikan kerajaan agar menjadi lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan dan bertanggungjawab atas keberhasilan yang menjadi keutamaan kepada rakyat serta memacu Malaysia ke arah melahirkan masyarakat yang maju . Selepas program tersebut diperkenalkan, industri pelancongan telah memainkan peranan penting dalam memberikan peluang-peluang baru kepada rakyat Malaysia.

Antara sumbangan industri pelancongan terhadap ekonomi negara ialah dari segi pengaliran masuk mata wang asing ke negara kita. Seperti yang semua sedia tahu, nilai ringgit Malaysia telah susut secara mendadak jika mahu dibandingkan dengan mata wang negara jiran. Semenjak September 2014 sehingga kini, nilai ringgit telah susut sebanyak 20 peratus berbanding negara-negara lain. Disebabkan itu, kehadiran pelancong asing yang ramai dapat membantu meningkatkan pendapatan negara. Untuk diperjelaskan dengan lebih terperinci, setiap pelancong yang datang ke Malaysia perlu menukar mata wang negara mereka kepada ringgit Malaysia untuk memudahkan urusan jual beli dan sebagainya. Mata wang asing ini kemudian akan disimpan untuk digunakan ketika membiayai perbelanjaan mengimport barang dari luar negara. Di samping itu, mata wang asing ini juga digunakan untuk membeli barangan keperluan asas untuk rakyat Malaysia dari luar negara. Para usahawan yang berkecimpung dalam urusan penukaran mata wang asing juga mendapat keuntungan yang setimpal.

Salah satu aktiviti yang dijalankan oleh pihak kerajaan.

Seperti yang dilampirkan dalam carta yang dibuat oleh Tourism Malaysia, bilangan pelancong pada tahun 2015 adalah sebanyak 25,721,251 orang dan kedatangan pelancong pada tahun ini pula dijangka mencecah 30.5 juta orang. Hasil daripada penerimaan pelancong pada tahun ini dianggarkan berjumlah 103 bilion, iaitu RM 33 bilion melebihi hasil tahun 2015. Seluruh rakyat Malaysia perlulah berganding bahu dalam menjadi tuan rumah yang mesra dan rajin membantu para pelancong yang datang ke Malaysia. Terdapat pelbagai aspek yang mendorong pelancong asing untuk melancong di Malaysia. Salah satu daripadanya adalah untuk membeli-belah. Tambahan pula, Malaysia merupakan salah satu destinasi membeli-belah yang utama di dunia. Oleh itu, para usahawan dan kerajaan telah mengusahakan pelbagai jenis aktiviti dan mengeluarkan lebih banyak produk yang dapat menarik perhatian para pelancong. Antara aktiviti yang telah diadakan ialah “1Malaysia Mega Sale Shopping Carnival” yang berlangsung pada 15 Jun sehingga 31 Ogos. Dengan adanya program seperti ini, pelancong akan lebih teruja untuk membeli-belah dan penukaran mata wang juga akan meningkat secara tidak langsung. Di samping itu, penurunan nilai ringgit yang rendah membuatkan barangan Malaysia bertambah kompetitif.





Selain daripada segi kemasukan mata wang asing, industri pelancongan juga membantu menjana pendapatan negara dari segi memajukan bidang perniagaan dan aktiviti keusahawanan di Malaysia. Setiap pelancong yang datang sudah semestinya memerlukan keperluan asas seperti tempat tinggal, makanan dan juga minuman. Seperti yang semua sedia maklum, perkhidmatan pelancongan di Malaysia memang sudah cukup lengkap. Pelancong hanya perlu memilih untuk menginap sama ada di hotel lima bintang, hotel bajet, resort mahupun di inap desa. Kerajaan telah memperkenalkan “Eco-tourism” di mana para pelancong boleh tinggal di desa dan mempelajari cara hidup masyarakat Malaysia di kampung termasuklah daripada cara berpakaian hinggalah merasai pelbagai jenis makanan yang enak. Terdapat juga pelancongan bermusim di mana pelancong dari hemisfera utara akan melarikan diri daripada musim sejuk dan datang ke Malaysia untuk menikmati keindahan tropika. Mereka boleh melancong ke kawasan pantai dan juga ke kawasan perhutanan. Kerajaan telah menyediakan pelbagai aktiviti dan pakej yang terbaik. Terdapat beberapa taman negara yang terkenal di Malaysia dan ia sememangnya menawarkan pakej yang terbaik bagi semua pelancong tidak mengira pelancong asing mahupun pelancong tempatan. Di sana, para pelancong dapat menikmati keindahan hutan simpan Malaysia dan melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti meredah hutan, menaiki rakit, memberi makanan kepada ikan yang diternak serta aktiviti-aktiviti menarik yang lain.

Capati, makanan kaum India

Kuih bulan, makanan kaaum Cina

Lemang, makanan kaum Melayu


Selain itu, Malaysia juga terkenal dengan keunikan dan kepelbagaian makanan. Setiap negeri mempunyai makanan penarik yang tersendiri. Sebagai contoh, buah durian merupakan daya penarik utama di Malaysia kerana ia jarang dijumpai di negara lain. Jadi, ada sesetengah pelancong yang datang ke Malaysia untuk merasai sendiri kesedapan raja buah ini. Begitu juga dengan perkhidmatan lain seperti pengangkutan, pemandu pelancong dan sebagainya. 

No comments:

Post a Comment