Wednesday 10 August 2016

Pengenalan



Dalam dunia yang serba moden dan berkembang pesat pada hari ini, industri pelancongan merupakan salah satu kegiatan ekonomi dan sosial yang terpenting bagi setiap negara. Hal ini berlaku kerana terdapat pelbagai medium dan teknologi moden yang boleh memperkenalkan kecantikan dan kehebatan sesebuah negara di mata dunia. Disebabkan itu, jumlah pelancong tak kira di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa semakin meningkat. Malah, beberapa buah negara kini sedang sibuk memajukan sektor pelancongan sebagai sektor utama yang boleh meningkatkan pendapatan negara (Inskeep, 1996).

Untuk memajukan sektor pelancongan, usahawan memainkan peranan yang sangat penting. Tengku Farith Rithauddeen mendefinisikan usahawan sebagai seorang individu yang sentiasa bangun setiap kali terjatuh di dalam bukunya yang bertajuk “Skali Lagi” (2008). Sikap ini amat penting dalam diri setiap usahawan memandangkan industri pelancongan negara ada pasang dan surutnya. Jadi, mereka tidak seharusnya cepat melatah jika keadaan industri ini sedikit terumbang-ambing dan cuba cari jalan penyelesaian untuk memajukannya semula.

Keusahawanan dan pembentukan urus niaga baru penting bagi mencipta dan mengekalkan ekonomi negara yang sihat kerana ia mencipta peluang-peluang yang baru. Sebagai contoh, memperbanyakkan peluang pekerjaan, menambah keupayaan eksport negara, menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan yang paling penting dapat menarik perhatian pelancong. Ini selari dengan definisi keusahawanan yang diberikan oleh Histrich & Peter (1988) yang mengatakan bahawa keusahawanan adalah proses mencipta sesuatu yang baru dengan mengambil kira masa, usaha, kewangan, psikologi dan sosial serta menerima manfaat daripadanya. Oleh itu, ditekankan di sini bahawa aktiviti keusahawanan sangat penting dalam memajukan industri pelancongan negara. 

No comments:

Post a Comment