Wednesday 10 August 2016

Penutup

Kesimpulannya, industri pelancongan di Malaysia sedang berkembang pesat dan menjadi salah satu penyumbang terbesar kepada ekonomi negara. Pelbagai langkah telah diambil untuk meningkatkan lagi mutu industri pelancongan tanah air. Oleh sebab itu, semua pihak perlulah berganding bahu bersama-sama pihak kerajaan dalam mempromosikan lagi Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan utama di mata dunia. Jika tidak, segala keistimewaan dan keindahan negara yang selama ini dipelihara akan menjadi sia-sia kerana tidak dapat diperkenalkan kepada seluruh dunia.



Langkah-langkah Untuk Mendorong dan Membangunkan Industri Pelancongan Malaysia

Seperti yang diterangkan sebelum ini, industri pelancongan Malaysia berdepan dengan beberapa masalah yang boleh memberi impak yang besar kepada industri tersebut sekali gus kepada hasil pendapatan negara. Oleh itu, masyarakat dan juga pihak kerajaan perlu saling bantu-membantu agar industri pelancongan negara semakin berkembang. Antara langkah-langkah baru yang boleh diambil untuk membangunkan industri pelancongan adalah penyebaran maklumat melalui media sosial, pemberian bantuan kepada usahawan muda dan juga kempen-kempen yang lebih memberi impak kepada masyarakat.

Pada masa kini, medium penyebaran maklumat semakin banyak bagai cendawan tumbuh selepas hujan memandangkan kemudahan Internet sudah boleh didapati di mana-mana sahaja. Antara medium yang terkenal dalam kalangan rakyat seluruh dunia ialah Facebook, Twitter dan Instagram. Hampir setiap hari, pasti ada tempat-tempat pelancongan mahupun kedai makanan yang menampilkan kelainan menjadi “viral” dan telah menarik jutaan pengunjung ke tempat-tempat tersebut. Hal ini kerana adanya sifat ingin tahu manusia yang inginkan kelainan. Oleh itu, pihak kerajaan dan rakyat Malaysia terutama sekali para usahawan sepatutnya menggunakan peluang ini untuk memperkenalkan Malaysia di mata dunia. Kerajaan sering kali menggunakan laman sesawang kerajaan seperti Tourism Malaysia untuk mempromosikan Malaysia tetapi dengan adanya medium baru ini, satu lagi cara dapat digunakan. Jika ada tempat-tempat menarik yang boleh mengundang lebih ramai pelancong asing, rakyat Malaysia perlu sama-sama berkongsi hal tersebut di media sosial supaya ia lebih diketahui ramai.


Untuk mengatasi masalah anak-anak muda yang semakin melupai budaya tradisional negara, kerajaan telah memberi bantuan kepada usahawan-usahawan kecil desa dan juga peniaga-peniaga muda yang baru mula bertapak. Kursus-kursus juga disediakan kepada masyarakat yang tidak mempunyai pekerjaan dan boleh menceburi bidang perniagaan seperti pembuatan songket, perniagaan kuih-muih tradisional, menyediakan perkhidmatan pelancongan seperti menjadi pemandu pelancong dan sebagainya. Oleh itu, rakyat Malaysia perlu lebih agresif dan cuba libatkan diri dalam bidang ini memandangkan jumlah penganggur di Malaysia semakin meningkat. 

Sistem Sokongan oleh Pihak Kerajaan dan Swasta yang Ditawarkan Untuk Pembangunan Industri Pelancongan Malaysia

Industri pelancongan merupakan salah satu faktor terpenting di Malaysia dan tidak hairanlah jika pihak kerajaan serta pihak swasta bersama-sama memberikan sokongan daripada pelbagai aspek bagi meningkatkan lagi pembangunan industri ini. Banyak usaha yang telah dicurahkan oleh kedua-dua pihak ini dan ia sememangnya telah memberi kesan yang positif kepada jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia.

Dalam Rancangan Malaysia ke-6, kerajaan telah bekerjasama dengan pihak swasta dalam membangunkan produk-produk pelancongan baru. Kemudian, pada tahun 1994, kerajaan sekali lagi melancarkan Tahun Melawat Malaysia 1994 (TMM 94) dengan menawarkan 170 program dan acara merangkumi kebudayaan, kesenian, kraf tangan, perayaan kebangsaan, sukan, konvensyen dan pameran. Pelbagai aktiviti yang menarik telah  diadakan oleh pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan.  Aktiviti yang dimaksudkan adalah seperti  pameran kejohanan sukan bertaraf dunia termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Acara-acara seperti ini perlu dirancang dengan baik jika mahu dijadikan acara tahunan. Ia perlu dipromosikan dengan lebih meluas dan lengkap dengan pelbagai maklumat menarik berkenaan acara tersebut. Dengan adanya acara atau kejohanan seperti ini, ia dapat menarik atlet-atlet dari luar negara untuk datang menyertainya dan secara tidak langsung mempromosikan Malaysia kepada pelancong asing. Dengan ini, Malaysia bukan saja dapat menempa nama sebagai penganjur sukan bertaraf antarabangsa tetapi dapat membangunkan industri pelancongan negara juga.

Selain itu, pihak kerajaan semakin giat memajukan sektor ekopelancongan disebabkan Malaysia mempunyai khazanah alam semula jadi yang tidak terkira jumlahnya seperti Taman Negara Belum dan Taman Negara Kinabalu yang telah pun diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Tidak ketinggalan, kerajaan juga menggalakkan agropelancongan menerusi acara-acara seperti Pesta Buah-buahan Tempatan dan Pesta Flora. Oleh itu, ditekankan sekali lagi di sini sebagai tuan rumah kepada para pelancong, penduduk tempatan hendaklah mempamerkan sikap ramah dan berbudi bahasa bagi memastikan para pelancong selesa dan berasa kehadiran mereka dialu-alukan. Selain itu, rakyat Malaysia sendiri perlu mengutamakan destinasi-destinasi percutian di Malaysia dahulu sebelum merancang untuk melancong luar negara.

Antara sokongan kerajaan yang lain dalam meningkatkan industri pelancongan adalah melalui fungsi Tourism Malaysia. Tourism Malaysia akan memanfaatkan promosi dan pemasaran digital sepenuhnya melalui penggunaan perkakasan interaktif dan media sosial yang inovatif untuk menawarkan pengalaman pelancongan yang disesuaikan mengikut keperluan segmen pasaran khusus. Media sosial akan digunakan untuk menguasai pasaran pelancong memandangkan pandangan dan ulasan dalam talian menjadi semakin popular sebagai rujukan kepada pelancong dalam membuat keputusan pengembaraan. Peserta industri akan digalakkan untuk memaksimumkan potensi pemasaran digital dengan memanfaatkan platform yang disediakan oleh Tourism Malaysia. Platform pemasaran akan dipertingkatkan untuk lebih mesra pengguna, interaktif dan mempunyai kandungan yang menarik dan relevan.


Usaha ini adalah untuk membolehkan kecekapan dan keberkesanan dalam pembangunan pelancongan secara lestari dengan penggunaan sumber secara optimum dapat dicapai. Semua projek pelancongan akan dibangunkan berdasarkan Dasar Pelancongan Negara.

Halangan atau Cabaran Industri Pelancongan

Industri pelancongan di Malaysia sedang meningkat naik dan menjadi salah satu sumber pendapatan utama negara. Oleh disebabkan itu, kerajaan menggalakkan pembukaan tempat-tempat pelancongan dengan lebih banyak. Hampir di setiap negeri, pasti ada sahaja daya tarikan yang ditekankan bagi menarik perhatian umum.  Kerajaan juga telah melakukan pelbagai usaha bagi memastikan industri ini berkembang pesat selari dengan pembangunan negara yang pantas. Namun begitu, masih ada kelonggaran dalam memastikan industri ini berkembang dengan lancar. Jika diselidik dengan lebih mendalam, terdapat banyak cabaran dan halangan yang perlu dihadapi oleh industri pelancongan Malaysia.

Cabaran terbesar bagi industri pelancongan di Malaysia ialah pencemaran alam sekitar dan kebersihan tempat-tempat awam. Hari demi hari, pencemaran alam sekitar di Malaysia semakin menjadi-jadi disebabkan sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan tidak pandai menjaga alam semula jadi. Walaupun pelbagai kempen telah diadakan oleh pihak kerajaan, namun sikap suka mencemarkan alam sekitar ini masih sukar disingkirkan. Jika sikap seperti ini diteruskan juga, kecantikan persekitaran kita yang menjadi tunggak utama industri pelancongan Malaysia ini pasti akan terjejas. Begitu juga dengan kebersihan di tempat-tempat awam seperti tandas awam yang sering kali di ambil mudah oleh masyarakat. Tetapi itulah yang melambangkan peribadi sesebuah negara. Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Majun mengatakan bahawa terdapat ramai pelancong yang datang ke Sabah dan mengadu bahawa tandas restoran dan tandas awam di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu berada dalam keadaan yang sangat tidak memuaskan (Borneo Post Online, 3 Oktober 2011). Hal ini tidak hanya berlaku di Sabah tetapi di seluruh Malaysia.

Cabaran kedua yang dihadapi oleh industri pelancongan Malaysia ialah sikap anak-anak muda tempatan yang tidak lagi berminat dengan kebudayaan tempatan. Pada zaman yang serba moden ini, para remaja lebih gemar menghabiskan masa mereka dengan telefon bimbit masing-masing. Tidak seperti zaman dahulu di mana pelbagai permainan menarik seperti gasing, congkak dan ting-ting yang mengeratkan hubungan persahabatan anak-anak muda. Kini, permainan tradisional di Malaysia makin hilang dan tidak diteruskan lagi memandangkan anak muda generasi sekarang hanya fokus bermain permainan di telefon dan alat-alat baru yang lain. Begitu juga dengan cara penghasilan makanan atau kuih tradisional yang semakin dilupakan. Ia hanya dilakukan oleh golongan tua sahaja dan anak-anak mereka tidak mahu mewarisi resipi turun-temurun itu. Terdapat pelbagai jenis kuih tradisional yang begitu sedap seperi bahulu, dodol, kuih bangkit dan sebagainya yang cara pembuatan menggunakan cara tradisional semakin dilupakan.


Selain itu, cabaran lain yang perlu dihadapi oleh industri pelancongan Malaysia ialah keadaan sistem politik yang tidak stabil kerana ia boleh menjejaskan imej negara. Sebagai contoh, jika berlakunya rusuhan dan seperti baru-baru ini berlakunya kejadian bom di sekitar Puchong, ia boleh menyebabkan pelancong rasa kurang selesa dan berasa tidak selamat. Walaupun mempunyai keindahan alam yang cantik tetapi disebabkan keselamatan negara yang kurang terjamin membuatkan para pelancong tidak yakin untuk datang ke sesebuah negara. Di sini, jelaslah bahawa politik yang tidak stabil akan membawa kesan yang buruk kepada industri pelancongan. 

Kepentingan dan Sumbangan Industri Pelancongan Terhadap Pembangunan Ekonomi Negara


Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu perdana menteri Malaysia, “Industri pelancongan telah memberi sumbangan yang ketara kepada ekonomi negara sejak pengenalan Program Transformasi Negara (NTP)” (BH Online, 17 Oktober 2015). Program Transformasi Negara adalah salah satu usaha perdana menteri untuk mentransformasikan kerajaan agar menjadi lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan dan bertanggungjawab atas keberhasilan yang menjadi keutamaan kepada rakyat serta memacu Malaysia ke arah melahirkan masyarakat yang maju . Selepas program tersebut diperkenalkan, industri pelancongan telah memainkan peranan penting dalam memberikan peluang-peluang baru kepada rakyat Malaysia.

Antara sumbangan industri pelancongan terhadap ekonomi negara ialah dari segi pengaliran masuk mata wang asing ke negara kita. Seperti yang semua sedia tahu, nilai ringgit Malaysia telah susut secara mendadak jika mahu dibandingkan dengan mata wang negara jiran. Semenjak September 2014 sehingga kini, nilai ringgit telah susut sebanyak 20 peratus berbanding negara-negara lain. Disebabkan itu, kehadiran pelancong asing yang ramai dapat membantu meningkatkan pendapatan negara. Untuk diperjelaskan dengan lebih terperinci, setiap pelancong yang datang ke Malaysia perlu menukar mata wang negara mereka kepada ringgit Malaysia untuk memudahkan urusan jual beli dan sebagainya. Mata wang asing ini kemudian akan disimpan untuk digunakan ketika membiayai perbelanjaan mengimport barang dari luar negara. Di samping itu, mata wang asing ini juga digunakan untuk membeli barangan keperluan asas untuk rakyat Malaysia dari luar negara. Para usahawan yang berkecimpung dalam urusan penukaran mata wang asing juga mendapat keuntungan yang setimpal.

Salah satu aktiviti yang dijalankan oleh pihak kerajaan.

Seperti yang dilampirkan dalam carta yang dibuat oleh Tourism Malaysia, bilangan pelancong pada tahun 2015 adalah sebanyak 25,721,251 orang dan kedatangan pelancong pada tahun ini pula dijangka mencecah 30.5 juta orang. Hasil daripada penerimaan pelancong pada tahun ini dianggarkan berjumlah 103 bilion, iaitu RM 33 bilion melebihi hasil tahun 2015. Seluruh rakyat Malaysia perlulah berganding bahu dalam menjadi tuan rumah yang mesra dan rajin membantu para pelancong yang datang ke Malaysia. Terdapat pelbagai aspek yang mendorong pelancong asing untuk melancong di Malaysia. Salah satu daripadanya adalah untuk membeli-belah. Tambahan pula, Malaysia merupakan salah satu destinasi membeli-belah yang utama di dunia. Oleh itu, para usahawan dan kerajaan telah mengusahakan pelbagai jenis aktiviti dan mengeluarkan lebih banyak produk yang dapat menarik perhatian para pelancong. Antara aktiviti yang telah diadakan ialah “1Malaysia Mega Sale Shopping Carnival” yang berlangsung pada 15 Jun sehingga 31 Ogos. Dengan adanya program seperti ini, pelancong akan lebih teruja untuk membeli-belah dan penukaran mata wang juga akan meningkat secara tidak langsung. Di samping itu, penurunan nilai ringgit yang rendah membuatkan barangan Malaysia bertambah kompetitif.





Selain daripada segi kemasukan mata wang asing, industri pelancongan juga membantu menjana pendapatan negara dari segi memajukan bidang perniagaan dan aktiviti keusahawanan di Malaysia. Setiap pelancong yang datang sudah semestinya memerlukan keperluan asas seperti tempat tinggal, makanan dan juga minuman. Seperti yang semua sedia maklum, perkhidmatan pelancongan di Malaysia memang sudah cukup lengkap. Pelancong hanya perlu memilih untuk menginap sama ada di hotel lima bintang, hotel bajet, resort mahupun di inap desa. Kerajaan telah memperkenalkan “Eco-tourism” di mana para pelancong boleh tinggal di desa dan mempelajari cara hidup masyarakat Malaysia di kampung termasuklah daripada cara berpakaian hinggalah merasai pelbagai jenis makanan yang enak. Terdapat juga pelancongan bermusim di mana pelancong dari hemisfera utara akan melarikan diri daripada musim sejuk dan datang ke Malaysia untuk menikmati keindahan tropika. Mereka boleh melancong ke kawasan pantai dan juga ke kawasan perhutanan. Kerajaan telah menyediakan pelbagai aktiviti dan pakej yang terbaik. Terdapat beberapa taman negara yang terkenal di Malaysia dan ia sememangnya menawarkan pakej yang terbaik bagi semua pelancong tidak mengira pelancong asing mahupun pelancong tempatan. Di sana, para pelancong dapat menikmati keindahan hutan simpan Malaysia dan melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti meredah hutan, menaiki rakit, memberi makanan kepada ikan yang diternak serta aktiviti-aktiviti menarik yang lain.

Capati, makanan kaum India

Kuih bulan, makanan kaaum Cina

Lemang, makanan kaum Melayu


Selain itu, Malaysia juga terkenal dengan keunikan dan kepelbagaian makanan. Setiap negeri mempunyai makanan penarik yang tersendiri. Sebagai contoh, buah durian merupakan daya penarik utama di Malaysia kerana ia jarang dijumpai di negara lain. Jadi, ada sesetengah pelancong yang datang ke Malaysia untuk merasai sendiri kesedapan raja buah ini. Begitu juga dengan perkhidmatan lain seperti pengangkutan, pemandu pelancong dan sebagainya. 

Tahap Pembangunan Industri Pelancongan Malaysia

Purata kedatangan para pelancong asing ke Malaysia semakin meningkat dari tahun ke tahun. Ini menunjukkan bahawa masih ramai pelancong yang berminat untuk datang ke Malaysia walaupun pelbagai masalah yang semangnya mengganggu industri pelancongan telah berlaku. Sebagai contoh, masalah jerebu yang sering menimpa nagara ini saban tahun dan juga peristiwa besar yang telah melanda negara kita dua tahun yang lalu iaitu kehilangan pesawat MH17 yang telah menggemparkan seluruh dunia. Kejadian-kejadian ini sangat membimbangkan pihak kerajaan kerana ia mampu menurunkan purata pelancong yang datang ke Malaysia sekali gus memberi impak yang besar kepada keadaan ekonomi semasa negara.  Namun, perkara sebaliknya telah berlaku. Berdasarkan kenyataan Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Razak dalam satu temu bual yang dipetik dari Berita Harian Online (2015), industri pelancongan negara kini menjadi penyumbang keenam terbesar kepada pembangunan ekonomi Malaysia dengan jumlah sumbangan bernilai RM161 bilion atau 14.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) pada tahun 2014.  Walaupun kejadian yang paling menyedihkan telah berlaku di Malaysia, industri pelancongan masih dapat bertahan dan menarik lebih kurang 27.44 juta pelancong dengan pendapatan berjumlah RM72 bilion.

Berdasarkan Competency Standard for Polytechnic Graduates (2010), industri pelancongan boleh dibahagikan kepada lapan sektor utama iaitu sektor penginapan, kulinari, acara, perkhidmatan pelancongan, tempat tarikan, pengangkutan, rekreasi dan juga perniagaan pelancongan. Jelas di sini bahawa industri pelancongan merupakan satu industri yang begitu luas dan berpotensi besar dalam menyumbang kepada peningkatan jumlah pendapatan dan ekonomi negara. Disebabkan itu, pelbagai usaha untuk mempromosikan lagi industri pelancongan Malaysia di mata dunia telah dilakukan oleh pihak kerajaan. Dengan adanya Internet dan pelbagai aplikasi moden yang memudahkan penyebaran maklumat, ia memberi peluang yang besar kepada pihak kerajaan untuk merealisasikan matlamat kedatangan pelancong tahunan. Menerusi laman sesawang Unit Perancangan Ekonomi Malaysia, dapat dilihat pelbagai usaha telah diambil untuk mempromosikan Malaysia secara terus-menerus. Antaranya ialah program pelancongan di mana pelbagai aktiviti akan dilakukan bagi memelihara tempat bersejarah, peruntukkan sejumlah wang untuk menaik taraf infrastruktur berkaitan pelancongan dan juga peningkatan kualiti produk pelancongan serta mutu perkhidmatan. Dengan adanya kempen dan aktiviti seperti ini, tempat-tempat yang sering dilawati pelancong akan lebih terjaga kecantikan serta keasliannya dan ini sama sekali membantu menaikkan nama Malaysia sebagai pusat pelancongan pilihan.

Selain itu, berdasarkan rajah yang dilampirkan oleh pihak Tourism Malaysia di laman sesawang mereka, kedatangan pelancong ke Malaysia semakin meningkat sejak tahun 2000. Pada tahun tersebut, jumlah kedatangan pelancong adalah 10,221,582 orang dan meningkat naik dari tahun ke tahun dan jumlah pelancong yang datang pada tahun 2015 adalah sebanyak 25,721,251 orang. Satu kenaikan yang banyak dan memberangsangkan. Oleh itu, untuk tahun 2016, pihak Tourism Malaysia mensasarkan sebanyak 30.5 juta pelancong akan datang ke Malaysia dan ini dapat dicapai dengan adanya pelbagai aktiviti yang dapat menarik lebih ramai pelancong tak kira dari luar negara mahupun pelancong tempatan. Contohnya, pihak Tourism Malaysia telah mengadakan Festival Air Thai Songkran yang diadakan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada bulan April. Aktiviti seperti ini dapat menarik para pelancong dari Thailand yang mahukan kelainan dalam melakukan aktiviti ini dan ia mungkin agak berbeza dengan apa yang dilakukan di Thailand.

Berdasarkan fakta-fakta yang telah dijelaskan, benarlah bahawa industri pelancongan di Malaysia semakin berkembang dan meningkat naik walaupun negara ini pernah mengalami masalah-maslah yang hampir melumpuhkan industri ini.

Rajah di bawah menunjukkan carta kedatangan pelancong pada tahun sebelum ini dan juga sasaran jumlah kedatangan pelancong pada tahun 2016.




Apa itu industri pelancongan?

Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, perkataan pelancongan membawa maksud perihal melancong, perihal orang melancong dan perkhidmatan yang berkaitan dengannya. Selain itu, Pertubuhan Pelancongan Dunia (OPD) atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai World Organization Tourism (WTO) mendefinisikan perkataan pelancongan di dalam laman sesawangnya sebagai aktiviti melancong yang dilakukan oleh seseorang dan tinggal di tempat yang lain daripada persekitaran biasanya tidak lebih dari satu tahun sama ada untuk menghabiskan waktu lapang, urusan perniagaan mahupun untuk urusan-urusan lain. Berdasarkan kedua-dua definisi ini, dapat disimpulkan bahawa pelancongan merujuk kepada suatu perjalanan atau pergerakan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Ia juga merujuk kepada destinasi yang dituju oleh individu tersebut mestilah berlainan daripada suasana tempat tinggalnya dan tempoh pelancongan itu sepatutnya tidak lebih daripada satu tahun. Jika lebih daripada satu tahun, individu tersebut sudah dikira menetap di tempat tersebut.

Industri pelancongan adalah antara agenda pembangunan yang diberikan penekanan oleh dunia dan Malaysia juga tidak terkecuali kerana sumbangannya yang besar kepada ekonomi negara dan tempatan (Redzuan Othman & Norlida Hanim Mohd Salleh, 2010). Di samping itu, industri ini sebenarnya memperkenalkan satu gaya hidup di mana ia memberi peluang kepada orang ramai untuk berhenti sejenak dan pergi merehatkan diri daripada hiruk-piruk kehidupan kota serta kesibukan kerja yang membosankan dan memberikan tekanan. Di Malaysia, permulaan industri pelancongan adalah pada akhir tahun 1960. Namun pada ketika itu, kerajaan tidak melihat industri ini sebagai satu sektor yang memberi banyak manfaat memandangkan bijih timah dan getah memberi keuntungan yang banyak kepada ekonomi negara. Bermula pada tahun 1970, kerajaan Malaysia sudah mula membangunkan industri pelancongan untuk memenuhi beberapa objektif. Antaranya ialah untuk meningkatkan jumlah pendapatan negara dalam pertukaran mata wang asing, memberi peluang pekerjaan kepada rakyat, menggalakkan pembangunan kawasan, mempelbagaikan ekonomi dan akhir sekali, meningkatkan hasil kerajaan.


Kini, Malaysia telah menjadi salah sebuah negara yang diiktiraf sebagai destinasi pelancongan utama bagi para pelancong serata dunia. Di dalam akhbar The Star pada tarikh 31 Oktober 2015, Malaysia telah dipilih sebagai destinasi pelancongan utama di Asia dan telah mengalahkan sembilan negara lain termasuklah Singapura, Korea, Macau, Sri Lanka dan Thailand  di Anugerah Tahunan Pelancongan Dunia kali ke-22 yang telah berlangsung di Hong Kong. Banyak lagi anugerah telah dimenangi oleh Malaysia pada malam itu dan ini jelas sekali menunjukkan di mana letaknya kedudukan industri pelancongan Malaysia di mata dunia. 

Pengenalan



Dalam dunia yang serba moden dan berkembang pesat pada hari ini, industri pelancongan merupakan salah satu kegiatan ekonomi dan sosial yang terpenting bagi setiap negara. Hal ini berlaku kerana terdapat pelbagai medium dan teknologi moden yang boleh memperkenalkan kecantikan dan kehebatan sesebuah negara di mata dunia. Disebabkan itu, jumlah pelancong tak kira di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa semakin meningkat. Malah, beberapa buah negara kini sedang sibuk memajukan sektor pelancongan sebagai sektor utama yang boleh meningkatkan pendapatan negara (Inskeep, 1996).

Untuk memajukan sektor pelancongan, usahawan memainkan peranan yang sangat penting. Tengku Farith Rithauddeen mendefinisikan usahawan sebagai seorang individu yang sentiasa bangun setiap kali terjatuh di dalam bukunya yang bertajuk “Skali Lagi” (2008). Sikap ini amat penting dalam diri setiap usahawan memandangkan industri pelancongan negara ada pasang dan surutnya. Jadi, mereka tidak seharusnya cepat melatah jika keadaan industri ini sedikit terumbang-ambing dan cuba cari jalan penyelesaian untuk memajukannya semula.

Keusahawanan dan pembentukan urus niaga baru penting bagi mencipta dan mengekalkan ekonomi negara yang sihat kerana ia mencipta peluang-peluang yang baru. Sebagai contoh, memperbanyakkan peluang pekerjaan, menambah keupayaan eksport negara, menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan yang paling penting dapat menarik perhatian pelancong. Ini selari dengan definisi keusahawanan yang diberikan oleh Histrich & Peter (1988) yang mengatakan bahawa keusahawanan adalah proses mencipta sesuatu yang baru dengan mengambil kira masa, usaha, kewangan, psikologi dan sosial serta menerima manfaat daripadanya. Oleh itu, ditekankan di sini bahawa aktiviti keusahawanan sangat penting dalam memajukan industri pelancongan negara.