Kesimpulannya,
industri pelancongan di Malaysia sedang berkembang pesat dan menjadi salah satu
penyumbang terbesar kepada ekonomi negara. Pelbagai langkah telah diambil untuk
meningkatkan lagi mutu industri pelancongan tanah air. Oleh sebab itu, semua
pihak perlulah berganding bahu bersama-sama pihak kerajaan dalam mempromosikan
lagi Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan utama di mata dunia. Jika
tidak, segala keistimewaan dan keindahan negara yang selama ini dipelihara akan
menjadi sia-sia kerana tidak dapat diperkenalkan kepada seluruh dunia.
Industri Pelancongan Malaysia
Wednesday 10 August 2016
Langkah-langkah Untuk Mendorong dan Membangunkan Industri Pelancongan Malaysia
Seperti
yang diterangkan sebelum ini, industri pelancongan Malaysia berdepan dengan
beberapa masalah yang boleh memberi impak yang besar kepada industri tersebut
sekali gus kepada hasil pendapatan negara. Oleh itu, masyarakat dan juga pihak
kerajaan perlu saling bantu-membantu agar industri pelancongan negara semakin
berkembang. Antara langkah-langkah baru yang boleh diambil untuk membangunkan
industri pelancongan adalah penyebaran maklumat melalui media sosial, pemberian
bantuan kepada usahawan muda dan juga kempen-kempen yang lebih memberi impak
kepada masyarakat.
Pada
masa kini, medium penyebaran maklumat semakin banyak bagai cendawan tumbuh
selepas hujan memandangkan kemudahan Internet sudah boleh didapati di mana-mana
sahaja. Antara medium yang terkenal dalam kalangan rakyat seluruh dunia ialah
Facebook, Twitter dan Instagram. Hampir setiap hari, pasti ada tempat-tempat
pelancongan mahupun kedai makanan yang menampilkan kelainan menjadi “viral” dan
telah menarik jutaan pengunjung ke tempat-tempat tersebut. Hal ini kerana
adanya sifat ingin tahu manusia yang inginkan kelainan. Oleh itu, pihak
kerajaan dan rakyat Malaysia terutama sekali para usahawan sepatutnya
menggunakan peluang ini untuk memperkenalkan Malaysia di mata dunia. Kerajaan
sering kali menggunakan laman sesawang kerajaan seperti Tourism Malaysia untuk
mempromosikan Malaysia tetapi dengan adanya medium baru ini, satu lagi cara
dapat digunakan. Jika ada tempat-tempat menarik yang boleh mengundang lebih ramai
pelancong asing, rakyat Malaysia perlu sama-sama berkongsi hal tersebut di
media sosial supaya ia lebih diketahui ramai.
Untuk
mengatasi masalah anak-anak muda yang semakin melupai budaya tradisional
negara, kerajaan telah memberi bantuan kepada usahawan-usahawan kecil desa dan
juga peniaga-peniaga muda yang baru mula bertapak. Kursus-kursus juga
disediakan kepada masyarakat yang tidak mempunyai pekerjaan dan boleh menceburi
bidang perniagaan seperti pembuatan songket, perniagaan kuih-muih tradisional,
menyediakan perkhidmatan pelancongan seperti menjadi pemandu pelancong dan
sebagainya. Oleh itu, rakyat Malaysia perlu lebih agresif dan cuba libatkan
diri dalam bidang ini memandangkan jumlah penganggur di Malaysia semakin
meningkat.
Sistem Sokongan oleh Pihak Kerajaan dan Swasta yang Ditawarkan Untuk Pembangunan Industri Pelancongan Malaysia
Industri
pelancongan merupakan salah satu faktor terpenting di Malaysia dan tidak
hairanlah jika pihak kerajaan serta pihak swasta bersama-sama memberikan
sokongan daripada pelbagai aspek bagi meningkatkan lagi pembangunan industri
ini. Banyak usaha yang telah dicurahkan oleh kedua-dua pihak ini dan ia
sememangnya telah memberi kesan yang positif kepada jumlah kedatangan pelancong
ke Malaysia.
Dalam
Rancangan Malaysia ke-6, kerajaan telah bekerjasama dengan pihak swasta dalam
membangunkan produk-produk pelancongan baru. Kemudian, pada tahun 1994,
kerajaan sekali lagi melancarkan Tahun Melawat Malaysia 1994 (TMM 94) dengan
menawarkan 170 program dan acara merangkumi kebudayaan, kesenian, kraf tangan,
perayaan kebangsaan, sukan, konvensyen dan pameran. Pelbagai aktiviti yang
menarik telah diadakan oleh pihak kerajaan dan badan-badan bukan
kerajaan. Aktiviti yang dimaksudkan adalah seperti pameran
kejohanan sukan bertaraf dunia termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi
(LIMA) dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Acara-acara seperti ini
perlu dirancang dengan baik jika mahu dijadikan acara tahunan. Ia perlu
dipromosikan dengan lebih meluas dan lengkap dengan pelbagai maklumat menarik
berkenaan acara tersebut. Dengan adanya acara atau kejohanan seperti ini, ia
dapat menarik atlet-atlet dari luar negara untuk datang menyertainya dan secara
tidak langsung mempromosikan Malaysia kepada pelancong asing. Dengan ini,
Malaysia bukan saja dapat menempa nama sebagai penganjur sukan bertaraf
antarabangsa tetapi dapat membangunkan industri pelancongan negara juga.
Selain
itu, pihak kerajaan semakin giat memajukan sektor ekopelancongan disebabkan Malaysia
mempunyai khazanah alam semula jadi yang tidak terkira jumlahnya seperti Taman
Negara Belum dan Taman Negara Kinabalu yang telah pun diiktiraf sebagai Tapak
Warisan Dunia oleh UNESCO. Tidak ketinggalan, kerajaan juga menggalakkan agropelancongan
menerusi acara-acara seperti Pesta Buah-buahan Tempatan dan Pesta Flora. Oleh
itu, ditekankan sekali lagi di sini sebagai tuan rumah kepada para pelancong,
penduduk tempatan hendaklah mempamerkan sikap ramah dan berbudi bahasa bagi
memastikan para pelancong selesa dan berasa kehadiran mereka dialu-alukan. Selain
itu, rakyat Malaysia sendiri perlu mengutamakan destinasi-destinasi percutian
di Malaysia dahulu sebelum merancang untuk melancong luar negara.
Antara sokongan kerajaan yang lain dalam meningkatkan industri pelancongan
adalah melalui fungsi Tourism Malaysia. Tourism Malaysia akan memanfaatkan
promosi dan pemasaran digital sepenuhnya melalui penggunaan perkakasan
interaktif dan media sosial yang inovatif untuk menawarkan pengalaman
pelancongan yang disesuaikan mengikut keperluan segmen pasaran khusus. Media
sosial akan digunakan untuk menguasai pasaran pelancong memandangkan pandangan
dan ulasan dalam talian menjadi semakin popular sebagai rujukan kepada
pelancong dalam membuat keputusan pengembaraan. Peserta industri akan
digalakkan untuk memaksimumkan potensi pemasaran digital dengan memanfaatkan
platform yang disediakan oleh Tourism Malaysia. Platform pemasaran akan
dipertingkatkan untuk lebih mesra pengguna, interaktif dan mempunyai kandungan
yang menarik dan relevan.
Usaha
ini adalah untuk membolehkan kecekapan dan keberkesanan dalam pembangunan
pelancongan secara lestari dengan penggunaan sumber secara optimum dapat
dicapai. Semua projek pelancongan akan dibangunkan berdasarkan Dasar
Pelancongan Negara.
Halangan atau Cabaran Industri Pelancongan
Industri
pelancongan di Malaysia sedang meningkat naik dan menjadi salah satu sumber
pendapatan utama negara. Oleh disebabkan itu, kerajaan menggalakkan pembukaan tempat-tempat
pelancongan dengan lebih banyak. Hampir di setiap negeri, pasti ada sahaja daya
tarikan yang ditekankan bagi menarik perhatian umum. Kerajaan juga telah melakukan pelbagai usaha
bagi memastikan industri ini berkembang pesat selari dengan pembangunan negara
yang pantas. Namun begitu, masih ada kelonggaran dalam memastikan industri ini
berkembang dengan lancar. Jika diselidik dengan lebih mendalam, terdapat banyak
cabaran dan halangan yang perlu dihadapi oleh industri pelancongan Malaysia.
Cabaran
terbesar bagi industri pelancongan di Malaysia ialah pencemaran alam sekitar
dan kebersihan tempat-tempat awam. Hari demi hari, pencemaran alam sekitar di
Malaysia semakin menjadi-jadi disebabkan sikap segelintir masyarakat yang tidak
bertanggungjawab dan tidak pandai menjaga alam semula jadi. Walaupun pelbagai
kempen telah diadakan oleh pihak kerajaan, namun sikap suka mencemarkan alam
sekitar ini masih sukar disingkirkan. Jika sikap seperti ini diteruskan juga,
kecantikan persekitaran kita yang menjadi tunggak utama industri pelancongan
Malaysia ini pasti akan terjejas. Begitu juga dengan kebersihan di
tempat-tempat awam seperti tandas awam yang sering kali di ambil mudah oleh
masyarakat. Tetapi itulah yang melambangkan peribadi sesebuah negara. Menurut
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Majun mengatakan
bahawa terdapat ramai pelancong yang datang ke Sabah dan mengadu bahawa tandas
restoran dan tandas awam di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu berada dalam
keadaan yang sangat tidak memuaskan (Borneo Post Online, 3 Oktober 2011). Hal
ini tidak hanya berlaku di Sabah tetapi di seluruh Malaysia.
Cabaran
kedua yang dihadapi oleh industri pelancongan Malaysia ialah sikap anak-anak
muda tempatan yang tidak lagi berminat dengan kebudayaan tempatan. Pada zaman
yang serba moden ini, para remaja lebih gemar menghabiskan masa mereka dengan
telefon bimbit masing-masing. Tidak seperti zaman dahulu di mana pelbagai
permainan menarik seperti gasing, congkak dan ting-ting yang mengeratkan
hubungan persahabatan anak-anak muda. Kini, permainan tradisional di Malaysia
makin hilang dan tidak diteruskan lagi memandangkan anak muda generasi sekarang
hanya fokus bermain permainan di telefon dan alat-alat baru yang lain. Begitu
juga dengan cara penghasilan makanan atau kuih tradisional yang semakin
dilupakan. Ia hanya dilakukan oleh golongan tua sahaja dan anak-anak mereka
tidak mahu mewarisi resipi turun-temurun itu. Terdapat pelbagai jenis kuih
tradisional yang begitu sedap seperi bahulu, dodol, kuih bangkit dan sebagainya
yang cara pembuatan menggunakan cara tradisional semakin dilupakan.
Selain
itu, cabaran lain yang perlu dihadapi oleh industri pelancongan Malaysia ialah
keadaan sistem politik yang tidak stabil kerana ia boleh menjejaskan imej
negara. Sebagai contoh, jika berlakunya rusuhan dan seperti baru-baru ini
berlakunya kejadian bom di sekitar Puchong, ia boleh menyebabkan pelancong rasa
kurang selesa dan berasa tidak selamat. Walaupun mempunyai keindahan alam yang
cantik tetapi disebabkan keselamatan negara yang kurang terjamin membuatkan
para pelancong tidak yakin untuk datang ke sesebuah negara. Di sini, jelaslah
bahawa politik yang tidak stabil akan membawa kesan yang buruk kepada industri
pelancongan.
Kepentingan dan Sumbangan Industri Pelancongan Terhadap Pembangunan Ekonomi Negara
Menurut
Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu perdana menteri Malaysia, “Industri
pelancongan telah memberi sumbangan yang ketara kepada ekonomi negara sejak
pengenalan Program Transformasi Negara (NTP)” (BH Online, 17 Oktober 2015).
Program Transformasi Negara adalah salah satu usaha perdana menteri untuk mentransformasikan
kerajaan agar menjadi lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan dan
bertanggungjawab atas keberhasilan yang menjadi keutamaan kepada rakyat serta
memacu Malaysia ke arah melahirkan masyarakat yang maju . Selepas program
tersebut diperkenalkan, industri pelancongan telah memainkan peranan penting
dalam memberikan peluang-peluang baru kepada rakyat Malaysia.
Antara
sumbangan industri pelancongan terhadap ekonomi negara ialah dari segi
pengaliran masuk mata wang asing ke negara kita. Seperti yang semua sedia tahu,
nilai ringgit Malaysia telah susut secara mendadak jika mahu dibandingkan
dengan mata wang negara jiran. Semenjak September 2014 sehingga kini, nilai
ringgit telah susut sebanyak 20 peratus berbanding negara-negara lain.
Disebabkan itu, kehadiran pelancong asing yang ramai dapat membantu
meningkatkan pendapatan negara. Untuk diperjelaskan dengan lebih terperinci,
setiap pelancong yang datang ke Malaysia perlu menukar mata wang negara mereka
kepada ringgit Malaysia untuk memudahkan urusan jual beli dan sebagainya. Mata
wang asing ini kemudian akan disimpan untuk digunakan ketika membiayai
perbelanjaan mengimport barang dari luar negara. Di samping itu, mata wang
asing ini juga digunakan untuk membeli barangan keperluan asas untuk rakyat
Malaysia dari luar negara. Para usahawan yang berkecimpung dalam urusan
penukaran mata wang asing juga mendapat keuntungan yang setimpal.
Salah satu aktiviti yang dijalankan oleh pihak kerajaan. |
Seperti
yang dilampirkan dalam carta yang dibuat oleh Tourism Malaysia, bilangan
pelancong pada tahun 2015 adalah sebanyak 25,721,251 orang dan kedatangan
pelancong pada tahun ini pula dijangka mencecah 30.5 juta orang. Hasil daripada
penerimaan pelancong pada tahun ini dianggarkan berjumlah 103 bilion, iaitu RM
33 bilion melebihi hasil tahun 2015. Seluruh rakyat Malaysia perlulah
berganding bahu dalam menjadi tuan rumah yang mesra dan rajin membantu para
pelancong yang datang ke Malaysia. Terdapat pelbagai aspek yang mendorong
pelancong asing untuk melancong di Malaysia. Salah satu daripadanya adalah untuk
membeli-belah. Tambahan pula, Malaysia merupakan salah satu destinasi
membeli-belah yang utama di dunia. Oleh itu, para usahawan dan kerajaan telah
mengusahakan pelbagai jenis aktiviti dan mengeluarkan lebih banyak produk yang
dapat menarik perhatian para pelancong. Antara aktiviti yang telah diadakan
ialah “1Malaysia Mega Sale Shopping Carnival” yang berlangsung pada 15 Jun
sehingga 31 Ogos. Dengan adanya program seperti ini, pelancong akan lebih
teruja untuk membeli-belah dan penukaran mata wang juga akan meningkat secara
tidak langsung. Di samping itu, penurunan nilai ringgit yang rendah membuatkan
barangan Malaysia bertambah kompetitif.
Selain
daripada segi kemasukan mata wang asing, industri pelancongan juga membantu
menjana pendapatan negara dari segi memajukan bidang perniagaan dan aktiviti
keusahawanan di Malaysia. Setiap pelancong yang datang sudah semestinya
memerlukan keperluan asas seperti tempat tinggal, makanan dan juga minuman.
Seperti yang semua sedia maklum, perkhidmatan pelancongan di Malaysia memang
sudah cukup lengkap. Pelancong hanya perlu memilih untuk menginap sama ada di hotel
lima bintang, hotel bajet, resort mahupun di inap desa. Kerajaan telah
memperkenalkan “Eco-tourism” di mana para pelancong boleh tinggal di desa dan
mempelajari cara hidup masyarakat Malaysia di kampung termasuklah daripada cara
berpakaian hinggalah merasai pelbagai jenis makanan yang enak. Terdapat juga
pelancongan bermusim di mana pelancong dari hemisfera utara akan melarikan diri
daripada musim sejuk dan datang ke Malaysia untuk menikmati keindahan tropika.
Mereka boleh melancong ke kawasan pantai dan juga ke kawasan perhutanan.
Kerajaan telah menyediakan pelbagai aktiviti dan pakej yang terbaik. Terdapat
beberapa taman negara yang terkenal di Malaysia dan ia sememangnya menawarkan
pakej yang terbaik bagi semua pelancong tidak mengira pelancong asing mahupun
pelancong tempatan. Di sana, para pelancong dapat menikmati keindahan hutan
simpan Malaysia dan melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti meredah hutan,
menaiki rakit, memberi makanan kepada ikan yang diternak serta
aktiviti-aktiviti menarik yang lain.
Capati, makanan kaum India |
Kuih bulan, makanan kaaum Cina |
Lemang, makanan kaum Melayu |
Selain
itu, Malaysia juga terkenal dengan keunikan dan kepelbagaian makanan. Setiap
negeri mempunyai makanan penarik yang tersendiri. Sebagai contoh, buah durian
merupakan daya penarik utama di Malaysia kerana ia jarang dijumpai di negara
lain. Jadi, ada sesetengah pelancong yang datang ke Malaysia untuk merasai
sendiri kesedapan raja buah ini. Begitu juga dengan perkhidmatan lain seperti
pengangkutan, pemandu pelancong dan sebagainya.
Tahap Pembangunan Industri Pelancongan Malaysia
Purata
kedatangan para pelancong asing ke Malaysia semakin meningkat dari tahun ke
tahun. Ini menunjukkan bahawa masih ramai pelancong yang berminat untuk datang
ke Malaysia walaupun pelbagai masalah yang semangnya mengganggu industri
pelancongan telah berlaku. Sebagai contoh, masalah jerebu yang sering menimpa
nagara ini saban tahun dan juga peristiwa besar yang telah melanda negara kita
dua tahun yang lalu iaitu kehilangan pesawat MH17 yang telah menggemparkan
seluruh dunia. Kejadian-kejadian ini sangat membimbangkan pihak kerajaan kerana
ia mampu menurunkan purata pelancong yang datang ke Malaysia sekali gus memberi
impak yang besar kepada keadaan ekonomi semasa negara. Namun, perkara sebaliknya telah berlaku.
Berdasarkan kenyataan Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Razak
dalam satu temu bual yang dipetik dari Berita Harian Online (2015), industri
pelancongan negara kini menjadi penyumbang keenam terbesar kepada pembangunan
ekonomi Malaysia dengan jumlah sumbangan bernilai RM161 bilion atau 14.9
peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) pada tahun 2014. Walaupun kejadian yang paling menyedihkan
telah berlaku di Malaysia, industri pelancongan masih dapat bertahan dan
menarik lebih kurang 27.44 juta pelancong dengan pendapatan berjumlah RM72
bilion.
Berdasarkan
Competency Standard for Polytechnic Graduates (2010), industri pelancongan
boleh dibahagikan kepada lapan sektor utama iaitu sektor penginapan, kulinari,
acara, perkhidmatan pelancongan, tempat tarikan, pengangkutan, rekreasi dan
juga perniagaan pelancongan. Jelas di sini bahawa industri pelancongan
merupakan satu industri yang begitu luas dan berpotensi besar dalam menyumbang
kepada peningkatan jumlah pendapatan dan ekonomi negara. Disebabkan itu,
pelbagai usaha untuk mempromosikan lagi industri pelancongan Malaysia di mata
dunia telah dilakukan oleh pihak kerajaan. Dengan adanya Internet dan pelbagai
aplikasi moden yang memudahkan penyebaran maklumat, ia memberi peluang yang
besar kepada pihak kerajaan untuk merealisasikan matlamat kedatangan pelancong
tahunan. Menerusi laman sesawang Unit Perancangan Ekonomi Malaysia, dapat
dilihat pelbagai usaha telah diambil untuk mempromosikan Malaysia secara
terus-menerus. Antaranya ialah program pelancongan di mana pelbagai aktiviti
akan dilakukan bagi memelihara tempat bersejarah, peruntukkan sejumlah wang
untuk menaik taraf infrastruktur berkaitan pelancongan dan juga peningkatan
kualiti produk pelancongan serta mutu perkhidmatan. Dengan adanya kempen dan
aktiviti seperti ini, tempat-tempat yang sering dilawati pelancong akan lebih
terjaga kecantikan serta keasliannya dan ini sama sekali membantu menaikkan
nama Malaysia sebagai pusat pelancongan pilihan.
Selain
itu, berdasarkan rajah yang dilampirkan oleh pihak Tourism Malaysia di laman
sesawang mereka, kedatangan pelancong ke Malaysia semakin meningkat sejak tahun
2000. Pada tahun tersebut, jumlah kedatangan pelancong adalah 10,221,582 orang
dan meningkat naik dari tahun ke tahun dan jumlah pelancong yang datang pada
tahun 2015 adalah sebanyak 25,721,251 orang. Satu kenaikan yang banyak dan
memberangsangkan. Oleh itu, untuk tahun 2016, pihak Tourism Malaysia mensasarkan
sebanyak 30.5 juta pelancong akan datang ke Malaysia dan ini dapat dicapai
dengan adanya pelbagai aktiviti yang dapat menarik lebih ramai pelancong tak
kira dari luar negara mahupun pelancong tempatan. Contohnya, pihak Tourism
Malaysia telah mengadakan Festival Air Thai Songkran yang diadakan di Bukit
Mertajam, Pulau Pinang pada bulan April. Aktiviti seperti ini dapat menarik
para pelancong dari Thailand yang mahukan kelainan dalam melakukan aktiviti ini
dan ia mungkin agak berbeza dengan apa yang dilakukan di Thailand.
Berdasarkan
fakta-fakta yang telah dijelaskan, benarlah bahawa industri pelancongan di
Malaysia semakin berkembang dan meningkat naik walaupun negara ini pernah
mengalami masalah-maslah yang hampir melumpuhkan industri ini.
Rajah di bawah menunjukkan carta kedatangan pelancong pada tahun sebelum ini dan juga sasaran jumlah kedatangan pelancong pada tahun 2016.
Apa itu industri pelancongan?
Menurut
Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, perkataan pelancongan membawa maksud perihal
melancong, perihal orang melancong dan perkhidmatan yang berkaitan dengannya.
Selain itu, Pertubuhan Pelancongan Dunia (OPD) atau dalam bahasa Inggeris
dikenali sebagai World Organization Tourism (WTO) mendefinisikan perkataan
pelancongan di dalam laman sesawangnya sebagai aktiviti melancong yang
dilakukan oleh seseorang dan tinggal di tempat yang lain daripada persekitaran
biasanya tidak lebih dari satu tahun sama ada untuk menghabiskan waktu lapang,
urusan perniagaan mahupun untuk urusan-urusan lain. Berdasarkan kedua-dua
definisi ini, dapat disimpulkan bahawa pelancongan merujuk kepada suatu perjalanan
atau pergerakan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Ia juga merujuk
kepada destinasi yang dituju oleh individu tersebut mestilah berlainan daripada
suasana tempat tinggalnya dan tempoh pelancongan itu sepatutnya tidak lebih
daripada satu tahun. Jika lebih daripada satu tahun, individu tersebut sudah
dikira menetap di tempat tersebut.
Industri
pelancongan adalah antara agenda pembangunan yang diberikan penekanan oleh
dunia dan Malaysia juga tidak terkecuali kerana sumbangannya yang besar kepada
ekonomi negara dan tempatan (Redzuan Othman & Norlida Hanim Mohd Salleh,
2010). Di samping itu, industri ini sebenarnya memperkenalkan satu gaya hidup
di mana ia memberi peluang kepada orang ramai untuk berhenti sejenak dan pergi
merehatkan diri daripada hiruk-piruk kehidupan kota serta kesibukan kerja yang
membosankan dan memberikan tekanan. Di Malaysia, permulaan industri pelancongan
adalah pada akhir tahun 1960. Namun pada ketika itu, kerajaan tidak melihat
industri ini sebagai satu sektor yang memberi banyak manfaat memandangkan bijih
timah dan getah memberi keuntungan yang banyak kepada ekonomi negara. Bermula
pada tahun 1970, kerajaan Malaysia sudah mula membangunkan industri pelancongan
untuk memenuhi beberapa objektif. Antaranya ialah untuk meningkatkan jumlah
pendapatan negara dalam pertukaran mata wang asing, memberi peluang pekerjaan
kepada rakyat, menggalakkan pembangunan kawasan, mempelbagaikan ekonomi dan
akhir sekali, meningkatkan hasil kerajaan.
Kini,
Malaysia telah menjadi salah sebuah negara yang diiktiraf sebagai destinasi
pelancongan utama bagi para pelancong serata dunia. Di dalam akhbar The Star
pada tarikh 31 Oktober 2015, Malaysia telah dipilih sebagai destinasi
pelancongan utama di Asia dan telah mengalahkan sembilan negara lain termasuklah
Singapura, Korea, Macau, Sri Lanka dan Thailand
di Anugerah Tahunan Pelancongan Dunia kali ke-22 yang telah berlangsung
di Hong Kong. Banyak lagi anugerah telah dimenangi oleh Malaysia pada malam itu
dan ini jelas sekali menunjukkan di mana letaknya kedudukan industri
pelancongan Malaysia di mata dunia.
Subscribe to:
Posts (Atom)